Berita Harian
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BisnesDunia_Hargaminyak_emasnaikkesangeopolitikdiMesir/Article/
2011/02/01
Pelabur bimbang berikutan tunjuk perasaan meruncingKETEGANGAN di Mesir yang bermula awal minggu lalu menyaksikan harga dua komoditi utama dunia iaitu minyak mentah dan emas, meningkat dengan ketara susulan tercetus kebimbangan pelabur terhadap kedudukan geopolitik negara itu.
Kontrak minyak mentah bermutu tinggi di pasaran komoditi New York, ‘Light Sweet’ bagi penghantaran Mac naik 74 sen kepada AS$90.09 setong ketika didagangkan pasaran hadapan elektronik Asia petang semalam.
Pada Jumaat lalu, ia melonjak 4.3 peratus kepada AS$89.34 setong.
Peningkatan itu adalah yang tertinggi pernah dicatatkan di NYMEX sejak September 2009 sama ada dari segi peratusan mahupun nilai dolar Amerika Syarikat (AS).
Sementara itu, emas pula melonjak mencecah AS$1,340.70 satu auns susulan populariti logam berharga itu di kalangan pelabur ketika berlakunya krisis ekonomi dan politik global.
Emas dianggap sebagai instrumen pelaburan yang selamat dalam melindung nilai pelaburan di tengah-tengah krisis politik di negara Asia Barat.
Penganalisis Ekonomi Kanan ANZ bank di Wellington, Sharon Zollner yang dipetik Dow Jones, berkata pelabur semakin bimbang protes penunjuk perasaan di Mesir, yang kini dilaporkan semakin meruncing, berkemungkinan akan melarat ke beberapa negara Asia Barat lain, termasuk Arab Saudi.
“Kebimbangan utama ketika ini adalah kemungkinan protes penunjuk perasaan di Mesir melarat ke Arab Saudi dan jika ia menjadi kenyataan, segala urus niaga termasuk penghantaran minyak akan tergendala,” katanya pada agensi berita itu semalam.
Menurut Joint Oil Data Initiative, iaitu organisasi perangkaan negara pengeluar utama minyak mentah dunia, menyatakan Mesir, negara ke-21 pengeluar minyak terbesar dunia, mengeluarkan kira-kira 673,000 tong minyak sehari.
Namun, yang paling dirisaukan, Mesir adalah hab kepada rangkaian perhubungan pembekalan minyak utama dunia di mana letaknya Terusan Suez dan sebuah saluran paip sepanjang 200 batu yang dikenali sebagai saluran Sumed.
Terusan Suez berfungsi sebagai transit utama kepada semua aktiviti penghantaran minyak dan bahan api dunia yang menghubungkan antara Teluk Parsi ke hemisfera barat, manakala saluran Sumed berfungsi sebagai transit alternatif kepada Terusan Suez.
Perangkaan Pentadbiran Maklumat Tenaga AS pula menyatakan, kira-kira 1.8 juta tong minyak mentah dan produk bertapis berasaskan minyak mentah lain, dihantar menerusi Terusan Suez pada 2009.
Saluran Sumed pula pada tempoh itu mengangkut sebanyak 1.1 juta tong minyak sehari. – Agensi
No comments:
Post a Comment